#Culture
Target:
Members of Parliament of Malaysia
Region:
Malaysia
Website:
www.facebook.com

DEKLARASI PUNCAK PURNAMA

SENIMAN MEMBANTAH PEROBOHAN ARCA “PUNCAK PURNAMA”
SENIMAN NEGARA DATUK SYED AHMAD JAMAL

“The international community recognizes the importance of the protection of cultural heritage and reaffirms its commitment to fight against its intentional destruction in any form so that such cultural heritage may be transmitted to the succeeding generations.” 1
UNESCO Declaration concerning the Intentional Destruction of Cultural Heritage, 2003

Insiden perobohan arca “Puncak Purnama” karya Seniman Negara Allahyarham Datuk Syed Ahmad Jamal pada 1 Julai 2016 merupakan satu titik hitam sejarah seni rupa Malaysia. Karya seni ini telah dibina pada tahun 1986 merupakan arca awam yang bersejarah dan menjadi salah satu tanda kebudayaan dan kesenian kepada seluruh rakyat Malaysa.

Ini adalah insiden kedua terjadi dan pada kali pertama, arca ini telah diubah suai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tanpa merujuk kepada pengkarya asal, Datuk Syed Ahmad Jamal dan telah dibawa ke mahkamah pada tahun 2000.

Insiden ini ternyata bertentangan dengan Deklarasi Organisasi Untuk Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco PBB) pada tahun 2003, yang memperuntukkan kepentingan pemeliharaan warisan budaya2. Deklarasi Unesco 2003 berkenaan “Kemusnahan Dengan Sengaja Terhadap Warisan Budaya” mengenalpasti kepentingan perlindungan warisan budaya dan komitmen badan itu untuk menentang sebarang bentuk tindakan memusnahkan warisan budaya tersebut agar ianya dapat diwariskan untuk generasi mendatang3.

Kami selaku seniman dan penggerak budaya membantah tindakan perobohan ini kerana ia dilakukan tanpa ada perundingan dan persefahaman di antara dua agensi kerajaan yang terlibat iaitu Balai Seni Visual Negara dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

1. Kami mendesak supaya adanya campurtangan dan pendirian dari pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia sebagai kementerian yang berkuasa penuh berhubung dengan kesenian dan kebudayaan tempatan.

2. Insiden ini adalah kesan kecuaian pihak yang tidak prihatin dengan perkara hakcipta dan hak moral seniman. Kami menuntut agar hak-hak seniman dan karya-karyanya dihargai oleh pihak berkuasa dan penggubal undang-undang di Malaysia. Kami berharap kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi di masa hadapan.

3. Kami juga menyeru kerajaan Malaysia agar menandatangani Kovenan Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Budaya, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Fasal 15 kovenan ini memperakui hak setiap orang untuk memperoleh manfaat dari perlindungan atas kepentingan moral dan material yang timbul dari karya ilmiah, sastera atau seni yang telah diciptakannya4.

4. Balai Seni Visual Negara perlulah dihormati sebagai penaung kesenian negara. Sebarang keputusan sama ada untuk memulihara, mengubah dan melupus sebarang artifak dan karya seni awam hendaklah dirujuk dan tertakluk di dalam bidang kuasa yang ada pada Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 dan Akta Warisan Kebangsaan 2005.5

5. Kami menyeru agar pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melantik satu lembaga penasihat khas berkaitan dengan perkara kesenian yang terdiri daripada wakil Balai Seni Visual Negara, seniman dan pereka mapan, budayawan dan tenaga akademik dari universiti tempatan untuk bekerjasama di dalam perancangan berkenaan dengan kesenian dan kebudayaan.

6. Kerjasama dan saling bergantungan di antara seniman dan pihak berkuasa di dalam memahami konsep “kesenian dan warisan” akan memberi nilai kepada lanskap kota. Secara tidak langsung, ini menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya yang kaya dengan estetika kesenian untuk masa hadapan.

1. UNESCO Declaration concerning the Intentional Destruction of Cultural Heritage, 2003
2. Declaration for United Nations Educational, Scientific and Organization (Unesco PBB) 2003
3. UNESCO Declaration concerning the Intentional Destruction of Cultural Heritage, 2003
4. International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights. Article 15
5. Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 dan Akta Warisan Kebangsaan 2005

GoPetition respects your privacy.

The DEKLARASI PUNCAK PURNAMA petition to Members of Parliament of Malaysia was written by Deklarasi Puncak Purnama and is in the category Culture at GoPetition.